Selain daripada untuk mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara negara-negara dalam kejiranan ini kata Rahman, ianya membuka ruang untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta percambahan pengetahuan negara-negara yang terlibat dalam sektor-sektor strategik yang utama.
“Sektor-sektor strategik ini, antaranya, terdiri daripada urusan berkaitan maritim, koridor ekonomi serta dasar keselamatan makanan. Era di mana integrasi ekonomi hanya eksklusif untuk urusan antara kerajaan sudah berlalu.
“Kini, dalam era ketidaktentuan yang sedang kita lalui, integrasi ekonomi dalam urusan serantau, urusan antara negeri, dan urusan antara komuniti memainkan peranan penting dalam meneroka kaedah baharu bagi menjana perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ahli Parlimen Kota Belud itu, sektor pengangkutan dan infrastruktur logistik juga perlu diberi perhatian yang serius sebagai salah satu sektor penting untuk satu integrasi yang berjaya.
Beliau berpendapat BIMP-EAGA dan IMT-GT perlu mewujudkan perhubungan yang mantap untuk melebarkan potensi ekonomi secara maksimum.
“Tanpa jaringan perhubungan yang baik, persidangan ini tidak mampu memudahcarakan ekonomi bidangan yang diperlukan untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan di rantau ini.
“Sebagaimana yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-11, pendekatan yang kita laksanakan adalah bertujuan untuk meningkatkan keterangkuman dalam menuju ke arah masyarakat yang adil dan sama rata.
“Malaysia akan terus menyokong strategi-strategi berkaitan, terutama sekali yang berkaitan dengan penambahbaikan jalan, pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.