KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antara enam wanita didakwa di lima Mahkamah Majistret Kuala Lumpur secara berasingan hari ini, selepas memiliki video lucah seorang lelaki dikenali Hot Daddy, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, yang merakam dan menjual videonya melakukan hubungan intim dengan 20 wanita dalam telefon bimbit dan peranti masing-masing.
Keempat-empat tertuduh mengaku salah selepas kertas pertuduhan mereka dibacakan oleh jurubahasa.
Sehubungan itu Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim mengenakan hukuman denda antara RM2,500 hingga RM4,800 ke atas penganggur, Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22 dan pemandu pelancong, Amira Natasha Mohammad, 26, yang didenda RM3,000.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim pula menjatuhkan denda ke atas eksekutif pemasaran, Adila Hanum Khairuddin, 36, sebanyak RM2,500 dan akhirnya Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman denda RM4,800 ke atas penuntut IPTA Nur A’liaa Muhamad Rosly, 22, yang juga seorang anak yatim dan kehilangan bapanya baru-baru ini.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara antara satu hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda masing-masing.Terdahulu kesemua enam wanita itu telah dibawa dengan kawalan ketat dan tangan bergari serta mukanya ditutup dengan menaiki lori polis sekitar pukul 11.15 pagi tadi ke lobi utama Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Mengikut fakta pertuduhan, wanita-wanita itu didakwa memiliki video lucah itu bagi maksud menunjukkannya secara awam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju pukul 5 petang pada 30 Januari lalu.
Kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Kes pendakwaan berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzim Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Aisyah Rahim dan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nicholas Cheoh dan Ernie Ahmad.Dalam pada itu, dua lagi wanita tertuduh iaitu akauntan, Norfatihah Ramle, 30, dan penuntut kolej swasta, Felecia Lisa Nandong, 21, pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama selepas kertas pertuduhan mereka dibacakan hadapan Majistret S.Arunjothy dan Nurul Izzah Shaharuddin.
Kedua-dua wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama dan turut dituduh di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi manakala dua tertuduh itu diwakili peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie dan Zamier Abu Bakar.
Mahkamah kemudian membenarkan Norfatihah bebas dengan wang jaminan RM3,000 sementara Felecia Lisa dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.Selain itu mahkamah turut menetapkan 12 dan 26 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – MALAYSIAGAZETTE