KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej umrah, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd bersama seorang pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas lapan pertuduhan gagal membayar balik perintah tuntutan wang berjumlah RM131,890 kepada lapan bakal jemaah.
Pengarahnya, Datuk Zulkarnain Endut, 43, yang juga mewakili syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang memerintahkan syarikat itu membayar balik tuntutan wang antara RM4,900 hingga RM40,470 kepada kelapan-lapan mangsa.
Zulkarnain dan syarikat itu selaku orang kena saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat TTPM, Aras 17, Menara Ansar, Jalan Trus, di sini, antara 24 Julai 2023 sehingga 10 Jan lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarkan Zulkarnain diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya sekali setiap sebulan.
Mahkamah menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan bacaan pertuduhan terhadap seorang lagi OKS iaitu pengarah syarikat berkenaan Datin Mazuin Mustafa, 43, yakni isteri Zulkarnain yang tidak dapat hadir ke mahkamah kerana cuti sakit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi manakala Zulkarnain dan syarikatnya itu diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.
Untuk rekod sebelum ini OKS telah dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Putrajaya melibatkan 63 pertuduhan berjumlah RM589,031 pada 15 Januari lepas.
Kemudian atas kesalahan sama juga, OKS dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu melibatkan 51 pertuduhan berjumlah RM503,221 pada 13 Februari lepas, sebelum dituduh di Mahkamah Majistret Seremban juga 51 pertuduhan berjumlah RM473,730 pada 26 Februari lepas.
Pada 8 Mac lepas, dilaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membatalkan lesen Emraz Travel and Tours berkuat kuasa 11 Mac tahun ini selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Menurut MOTAC ini kerana syarikat itu didapati telah melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara. – Bernama