Empat Individu Dipanggil Siasatan Kes Bayi Dicampak Dari Kondominium

KUALA LUMPUR: Polis masih giat berusaha mengesan suspek kes seorang bayi lelaki yang maut dengan kepalanya pecah selepas disyaki dicampak dari kondominium di Sri Petaling minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya masih meneruskan pemeriksaan secara menyeluruh di kondominium terbabit.

Setakat ini empat individu telah dipanggil membantu siasatan.

“Setakat ini kita telah memanggil dan mengambil keterangan daripada empat individu yang terdiri daripada pengadu dan saksi dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Keterangan telah selesai diambil daripada mereka di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman juga menjelaskan pihaknya juga masih meneruskan pemeriksaan secara menyeluruh daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium mewah tersebut.

“Pemeriksaan CCTV secara menyeluruh terutama di bahagian lif bangunan (12 lif kesemuanya) dan parking (8 aras) di Pinnacle Residensi masih giat dijalankan oleh polis.

“Selain itu, buat masa ini, tiada tangkapan ke atas mana-mana orang dibuat oleh polis dalam kes ini,” tegasnya.

Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.

Dalam kejadian 9 Mac lalu, Ku Mashariman mengesahkan polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah kondominium di Sri Petaling.

Hasil siasatan awal pasukan polis di lokasi mendapati bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu dipercayai dicampak atau dibuang dari kedudukan yang tinggi sehingga mengakibatkan bahagian kepalanya pecah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan polis bagi mengenal pasti ibu bapa atau individu terbabit dalam kejadian itu,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia