KUALA LUMPUR: Harga emas pukal berlegar iaitu sekitar AS$2,254.71 (RM10,651.80) seauns atau RM342.46 segram setelah merekodkan paras tertinggi dalam sejarah semalam iaitu AS$2,262.19 (RM10,687.20) seauns atau RM343.60 segram.
Kenaikan itu berlaku selepas data terkini yang menunjukkan trend inflasi Amerika Syarikat (AS) yang perlahan meningkatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) boleh melaksanakan pemotongan kadar faedah pertamanya pada Jun.
Reuters memetik penganalisis UBS, Giovanni Staunovo berkata, angka inflasi AS yang lebih rendah sedikit daripada unjuran menyokong ramalan pemotongan kadar faedah Fed pertengahan tahun ini.
Data pada Jumaat menunjukkan inflasi AS sederhana pada Februari, sekali gus mengekalkan unjuran pemotongan kadar faedah Jun.
Pengerusi Fed, Jerome Powell dilaporkan berkata, data inflasi Februari adalah ‘lebih sejajar dengan jangkaan’ .
Jangkaan penurunan kadar yang semakin meningkat, permintaan aset selamat dan pembelian bank pusat di tengah-tengah ketegangan geopolitik telah meningkatkan harga emas lebih daripada 9.0 peratus tahun ini.
“Pasaran kini mahu melihat sama ada data senarai gaji akan mengesahkan penurunan sederhana pasaran pekerjaan di AS.. Permintaan kukuh yang berterusan membantu logam berharga walaupun harga yang lebih tinggi mungkin menjejaskan permintaan barang kemas,” kata Staunovo.
Harga emas juga telah mencapai rekod tertinggi dalam mata wang lain, termasuk euro, yuan, rupee India dan pound sterling British.
Niaga hadapan emas India mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada Isnin, menjejaki keuntungan dalam pasaran luar negara, selain memberi penekanan dalam permintaan di pasaran pengguna kedua terbesar dunia bagi logam berharga itu, kata peniaga.
“Kedudukan harga hari ini berlaku dalam persekitaran mudah tunai yang sangat rendah – kebanyakan pasaran Eropah dan kebanyakan pasaran sia Pasifik masih ditutup untuk Isnin,” kata Ketua Makro Global Tastylive, Ilya Spivak.
Di peringkat tempatan, Pengarah Urusan GG Ornaments Sdn Bhd (Gdora Malaysia), Norazlan Nordin berkata, harga emas berupaya mencecah AS$2,400 (RM11,324) seauns atau RM364.07 segram tahun ini.
Katanya, faktor utama adalah jangkaan pemotongan kadar faedah Fed sebanyak tiga kali tahun ini sekali gus menyaksikan pelabur akan terus memilih emas.
“Seperti diketahui umum, emas kekal pelaburan jangka panjang kerana ia menjadi pelindung nilai yang stabil dan pelindung kepada ketidakstabilan ekonomi serta inflasi.
“Ketidakstabilan ekonomi terutama di AS menyaksikan harga emas terus menokok dan terus menjadi tumpuan utama pelabur, selain mata wang kripto,” katanya kepada BH.
Norazlan berkata, pergolakan geopolitik dan harga emas berada paras tertinggi membuka peluang pelabur meraih pulangan tinggi dan mengalih pelaburan sementara kepada kripto.
“Jika pelabur untuk terus memberi tumpuan kepada emas, mereka boleh terus memegang emas untuk tempoh jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor berkata, dengan prospek cerah emas, aset selamat itu berpotensi untuk mencecah paras AS$2,300 (RM10,852.20) seauns atau RM348.90 segram, paras tertinggi sepanjang masa sekiranya Fed AS menurunkan kadar faedah pada suku ketiga tahun ini.
“Untuk jangka pendek saya tidak rasa emas akan mencecah AS$2,300 seauns,” katanya. –Berita Harian