Ekonomi Malaysia berkembang 4.1% separuh pertama 2016

Dalam satu kenyataan, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata permintaan dalam negeri lebih kukuh semasa suku dalam kajian tetapi pertumbuhan telah menerima kesan daripada eksport bersih yang terus merosot dan pengeluaran stok yang tinggi.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 4.2 peratus pada suku pertama dan 4.9 peratus pada suku kedua2 2015.

Sementara itu, aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan kadar pengembangan lebih cepat sebanyak 6.1 peratus pada suku kedua pada 4.5 peratus pada suku pertama, katanya.

Menurut BNM, penggunaan swasta meningkat 6.3 peratus berbanding 5.3 peratus pada suku pertama, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan serta pendapatan boleh guna tambahan hasil daripada pelaksanaan langkah-langkah kerajaan.

Pelaburan swasta berkembang dengan lebih pantas pada kadar 5.6 peratus berbanding 2.2 peratus pada suku pertama, didorong terutamanya oleh perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Mengenai pelaburan awam, bank pusat berkata pertumbuhan kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif 7.5 peratus berbanding -4.5 peratus pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk harta tetap oleh kerajaan Persekutuan dan perbadanan awam.

Pertumbuhan penggunaan awam juga bertambah baik pada suku kedua kepada 6.5 peratus daripada 3.8 peratus pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan.

Dari segi penawaran, BNM berkata semua sektor ekonomi terus berkembang, kecuali sektor pertanian.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi, naik 5.7 peratus daripada 5.1 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh.

Sektor perkilangan pula, menurut BNM, disumbangkan oleh kelompok elektronik dan elektrik, berkembang 4.1 peratus pada suku kedua berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

Ia berkata pertumbuhan sektor pembinaan yang lebih kukuh, didorong terutamanya oleh subsektor kejuruteraan awam.

Sementara itu, prestasi sektor perlombongan bertambah baik dengan naik 2.6 peratus berbanding 0.3 peratus pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi pada suku tersebut.

Bagaimanapun, pertumbuhan sektor pertanian merosot 7.9 peratus berbanding penguncupan 3.8 peratus pada suku pertama, akibat kesan tertangguh El Niño ke atas pengeluaran minyak sawit mentah.

Turun naik ringgit

BNM turut menjangka ringgit mencatatkan prestasi baik bagi tempoh jangka panjang dirangsang oleh asas-asas ekonomi yang kukuh, kata Muhammad.

Beliau berkata keadaan turun naik ringgit sekarang berbanding dolar AS adalah disebabkan oleh pengukuhan dolar AS, susulan keadaan tidak menentu dalam pelarasan kadar faedah ekonomi terbesar dunia itu sudah kembali normal.

Muhammad berkata ini terbukti daripada pergerakan turun naik yang dicatatkan mata wang serantau berbanding dolar AS.

“Mata wang serantau mencerminkan kekuatan dolar AS yang agak kukuh dalam tempoh beberapa bulan lepas.

“Namun, jika anda lihat pada data ekonomi, kita (Malaysia) adalah kukuh.

“Jadi, untuk tempoh jangka panjang, ia (ringgit) akan mencerminkan kekuatan ekonomi kita,” katanya pada sidang akhbar untuk mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku kedua.

Dalam tempoh jangka pendek, katanya, ringgit dijangka kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti pertumbuhan global, peristiwa geopolitik dan perubahan dasar di negara-negara maju.

“Norma baharu adalah ringgit akan menjadi tidak menentu,” katanya.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Muhammad berkata BNM akan menilai data ekonomi semasa terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kami belum lagi melihat data ekonomi. Selepas kami melihatnya, barulah kami akan membincangkan bagaimana untuk mengambil sebarang langkah,” katanya.

Bagi akaun semasa, beliau berkata bank pusat yakin ia akan terus positif tahun ini meskipun persekitaran yang mencabar.

“Bagaimanapun, bagi tahun depan, ia akan bergantung kepada pertumbuhan global.

Muhammad berkata bank pusat juga mengekalkan unjuran defisit fiskal pada 3.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar.- Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia