Editor Sarawak Report fail rayuan kes fitnah Sultanah Terengganu

KUALA LUMPUR: Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun, selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Menerusi notis rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Rewcastle-Brown merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Peguam Guok Ngek Seong mewakili Rewcastle-Brown ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Semalam, Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Rewcastle-Brown setelah didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah, selepas berpuas hati satu kes prima facie berjaya dibuktikan oleh pasukan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom telah menulis sebuah buku bertajuk, ‘The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose’ yang mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

Tohmahan seperti yang digariskan iaitu ‘the wife of the Sultan’ terhadap Sultanah Terengganu pada muka surat tiga, perenggan keempat dan baris ketujuh itu suatu fitnah yang diketahui Rewcastle-Brown akan merosakkan nama Sultanah Nur Zahirah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 pagi, 14 September 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama, di sini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia