KUALA LUMPUR: Pasar raya Elews Mart, yang dimiliki pendakwah bebas, Ebit Lew dikatakan akan mula menutup operasi kesemua cawangannya secara berperingkat bermula 15 Januari lepas.
Khabar penutupan itu berlegar berdasarkan satu notis bertarikh 15 Januari 2024 dengan kepala surat Elews Mart Sdn Bhd yang tular pada Rabu.
“Adalah dimaklumkan bahawa Elews Mart Sdn Bhd akan menutup semua cawangan Elews Smart secara berperingkat bermula pada 15 Januari 2024.
“Sehubungan dengan itu, pihak kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang kerjasama dijalankan untuk memastikan operasi cawangan kami berjalan lancar.
“Segala hutang tertunggak akan dilangsaikan selewat-lewatnya 30 Jun 2024,” menurut notis tersebut.
Tinjauan di laman sesawang rasmi ElewsMart mendapati, tiada notis tersebut dikongsikan dalam laman tersebut.
Begitupun, semakan pada laman Facebook dan Instagram perniagaan itu mendapati ia sudah lama tidak dikemas kini.
Kali terakhir ia dikemas kini, dengan promosi daripada kedai tersebut adalah pada September tahun lepas.
Elews Mart merupakan perniagaan runcit milik Ebit yang tular sebelum ini kerana menawarkan barangan dengan harga murah kepada pengguna.
Pada 2020, sebanyak 10 cawangan dibuka dan terletak di Bandar Baru Bangi, Sungai Buloh, Balakong Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak, Gombak Traders dan Subang Perdana.