KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati isu kehilangan wang menjadi punca perselisihan faham antara pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu di sini hingga mengakibatkan kematian Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata, ia berikutan dua pelajar kolej vokasional itu masing-masing kehilangan wang RM50 serta RM35, dan mangsa kemudian dituduh sebagai pencuri seterusnya mengakibatkan perselisihan faham itu.
XMangsa kemudian dipukul hingga mati. Bagaimanapun polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Semalam dilaporkan Nazmie Aizzat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik asrama di Kolej Vokasional pada 6.50 pagi, dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan.
Sementara itu, Rohan Shah berkata, 13 pelajar lelaki kolej vokasional tersebut berumur antara 16 hingga 19 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut semalam, telah direman enam hari seperti dibenarkan Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Polis turut merampas 12 telefon pintar milik suspek bagi membantu siasatan dan kesemua suspek didapati bebas penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan 12 saksi bebas terdiri daripada empat warden asrama, pengawal keselamatan serta beberapa pelajar kolej terbabit. – Bernama