Memetik laporan Kosmo Online, kesemua suspek yang terlibat secara langsung dengan kumpulan militan Daesh itu ditahan dalam beberapa siri serbuan bermula 20 Julai hingga Selasa lalu di sekitar Johor, Sabah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, enam suspek merupakan warga tempatan manakala tiga lagi terdiri daripada warga asing yang menjadikan Malaysia sebagai tempat transit mereka untuk mendapatkan dokumen perjalanan palsu selain merancang melancarkan serangan di salah sebuah negara di Timur Tengah.
“Tiga warga tempatan yang ditahan dalam operasi ini didapati bersubahat menyembunyikan dua suspek yang terlibat dalam serangan bom tangan di pusat hiburan Movida.
“Seorang lagi suspek yang berasal dari Sabah pula, ditahan berikutan mahu melakukan serangan ‘lone wolf’ dengan cara menyembelih mana-mana orang bukan Islam di Sandakan selain mengancam ingin membunuh ketua polis negara melalui laman sosial Facebook miliknya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.
Tambah Khalid, kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta 574 Kanun Keseksaan dan mereka akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.