Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, mangsa yang berusia 21 tahun dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang ketika sedang tidur di ruang tamu rumahnya kira-kira jam 4.50 pagi.
Menurutnya mangsa mengalami cedera parah selepas ditetak di kepala dan tangan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat tidak puas hati selepas mangsa dipercayai menjalinkan hubungan dengan kekasih salah seorang suspek.
“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, S. Danesh Kumar, 18, dan rakannya K. Shan Praveen,19 tahun diminta tampil bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kedua-dua remaja tersebut beralamat terakhir di Sungai Way dan Kelana Jaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata.