Dua minggu masa untuk kosongkan ladang babi -MB Selangor

SHAH ALAM: Tempoh masa dua minggu yang diberikan kepada pengusaha ternakan babi di Teluk Bunut, Kuala Langat untuk mengosongkan ladang termasuk menjual haiwan ternakan itu adalah wajar dan mencukupi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata arahan pengosongan ladang ternakan itu dilakukan susulan laporan terhadap pencemaran yang berlaku di sekitar kawasan itu sejak sekian lama.

“Sebahagian mereka itu penternak khinzir secara tradisional dan sangat tidak ‘hygine’. Kita memberi peluang (tempoh dua minggu untuk pengosongan) bagi sambutan Tahun Baharu Cina.

“Masa yang diberikan itu saya rasa sudah cukup dan pihak berkuasa akan ambil tindakan seterusnya.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan sebaik mungkin kerana jika kita tidak menggerakkan sebarang inisiatif, maknanya isu ini tidak akan selesai yang mana ia membabitkan isu pencemaran sungai, bau busuk serta kebarangkalian penyakit berjangkit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor di sini, hari ini.

Amirudin turut mengakui, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan pada 6 Februari lalu tidak sesuai berikutan dekat dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Pada 6 Februari lalu, Jabatan Veterinar Selangor memberi masa dua minggu (dari tarikh berkenaan) kepada sebuah ladang ternakan babi yang menyebabkan pencemaran bau untuk mengosongkan ladang.

Pengarah Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil dilaporkan berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 27 Oktober 2023 dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar diberikan kuasa bagi mengambil tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, dua kompaun dikeluarkan ke atas ladang berkenaan sebelum ini kerana melakukan pencemaran bau dan tidak mempunyai lesen pengoperasian ternakan. -Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia