Dua Lelaki Bawa 10.5 Kg Dadah Terjun Sungai Elak Dicekup

SUNGAI PETANI: Sejumlah 10.5 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM347,000 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah dalam satu operasi dijalankan di kawasan Kota Kuala Muda, dekat sini, Rabu lalu.

Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, hasil maklumat diterima dan risikan, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot nelayan jenis fiber tanpa nombor pendaftaran di muara Sungai Pasar Bisik, Kota Kuala Muda kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, selepas menunggu selama kira-kira empat jam hingga 10.20 malam, bot tersebut dibawa dua lelaki mencurigakan dikesan bergerak menuju ke arah laut.

“Pasukan serbuan kemudiannya berusaha memintas bot berkenaan. Sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, dua lelaki itu terjun ke muara sungai sebelum menghilangkan diri.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap bot tersebut kemudiannya menemukan 10 bungkusan coklat mengandungi dadah jenis syabu yang diletakkan dalam sebuah beg dan disembunyikan di ruang simpanan bot. Anggaran berat dadah itu kira-kira 10.5 kilogram dengan nilai pasaran RM347,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, dadah tersebut dipercayai cuba dibawa keluar secara haram melalui jalan laut dengan menggunakan bot nelayan ke negara jiran.

“Dadah tersebut dipercayai cuba dibawa keluar ke Indonesia. Sindiket tersebut beroperasi pada lewat malam bertujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Langkah menyeludup dadah ini ke negara jiran adalah bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda berbanding pasaran tempatan.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas, dadah tersebut dianggarkan boleh digunakan 100,000 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya.

Selain dadah yang cuba diseludup katanya, JKDM Kedah turut menyita bot digunakan penyeludup dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM225,000.

“Rampasan keseluruhan termasuk dadah dan bot dianggarkan bernilai RM572,000. Tiada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik bot tersebut.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain boleh dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

“JKDM menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 dan identiti pemberi maklumat dijamin akan dirahsiakan” katanya. – Getaran

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap