Dua laporan polis dakwaan salah guna media sosial kaitkan TMJ

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata laporan pertama berkaitan pembukaan akaun Twitter palsu atas nama DYAM Tunku Mahkota Johor, menyunting gambar Tunku Mahkota Johor serta memuat naik kenyataan sensitif berhubung kepimpinan sebuah parti politik.

“Satu lagi laporan polis dibuat berhubung akaun Facebook yang memaparkan kenyataan Tunku Mahkota Johor bersifat menghina pemimpin negara. Kenyataan yang dikeluarkan itu bersifat jelik dan boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Wan Ahmad Najmuddin berkata siasatan polis mendapati kenyataan berkenaan bukan dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor dan polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan menyamarkan diri.

“Polis Johor sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik Twitter dan Facebook terlibat. Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan terpedaya dengan kenyataan mahupun gambar yang dipaparkan menerusi laman sosial tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia