Dua diberkas, polis terus buru suspek kes ikat dan pukul pemandu sehingga maut

PETALING JAYA: Dua lagi individu ditahan disyaki terlibat dengan kes ikat dan pukul seorang pemandu sehingga maut selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan terhadap dua lelaki tersebut dibuat di Kajang semalam.

Ini menjadikan jumlah tangkapan terkini adalah seramai tujuh orang.

Menurut Hussein, polis akan mengenal pasti dan menangkap semua yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Akan ada lagi tangkapan, kita akan cari semua yang ada dalam video. (Yang dua itu) Seorang berumur 23 seorang lagi 40 tahun,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Katanya, sehingga kini pihak polis masih menunggu keputusan ujian makmal bagi mendapatkan punca kematian mangsa.

“Bedah siasat mendapati mangsa positif dadah. Mangsa ada rekod jenayah sebelum ini berkaitan dadah. Hasil bedah siasat mendedahkan tiada kecederaan ketara membabitkan kematian mangsa,” katanya lagi.

Baru-baru ini media melaporkan, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Ketika kejadian mangsa berusia 42 tahun itu memandu Proton Saga kelabu dan terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan, mangsa dikejarkan orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 di Kajang sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Video kejadian kemudian tular di media sosial.

Kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Hussein mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menambah cerita mengenai kejadian tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat termasuk waris mangsa.

“Jangan reka, tokok tambah perkara yang mereka tidak tahu dan yang mereka tidak nampak kerana akan memberi kesan kepada siasatan dan menimbulkan kegusaran kepada ramai dan keluarga,” tegasnya.

Dalam masa sama beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan polis.

“Sesiapa yang ada maklumat mohon tampil untuk membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap