Beliau juga mengharapkan agar baginda dan Raja-Raja Melayu akan menerima maklum bahawa penolakan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan perkara kecil yang dibangkitkan atas motif politik.
“Tugas saya adalah untuk hantar semua Deklarasi Rakyat ke istana (Yang di-Pertuan Agong) dalam masa terdekat.
“Ia adalah sentimen majoriti dan penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri bukan hanya bermula hari ini dan dia sepatutnya sudah lama meletak jawatan,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada Jumaat.
Sehingga Khamis, sebanyak 1,271,997 tandatangan telah diterima Deklarasi Rakyat yang diedarkan melalui atas talian dan fizikal.
“Jumlah tandatangan yang terkumpul secara atas talian sehingga tengah hari kelmarin adalah 1,071,997. Manakala 253,505 ditolak (bertindan dan tidak lengkap) serta 200,000 tandatangan secara fizikal.
“Bercanggah dengan laporan dalam media arus perdana, kami telah mendapat sokongan memberangsangkan termasuk di kawasan luar bandar, di dalam rapat umum dan perjumpaan-perjumpaan lain di seluruh negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa wujud pelbagai ancaman yang diterima secara langsung dan tidak langsung terhadap mereka yang menandatanganiDeklarasi Rakyat.
“Di sesetengah kawasan luar bandar, rakyat diancam dengan penarikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Bagi penjawat awam pula, mereka bimbang untuk turunkan tandatangan kerana takut akan berdepan masalah jika lakukan,” katanya.
Beliau berkata, usaha pihak tertentu memaparkan gerakan Deklarasi Rakyat sebagai usaha menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi juga gagal.
“Ini kerana objektif seperti dinyatakan dalam deklarasi itu amat nyata iaitu menuntut Najib meletak jawatan,” katanya.