‘Doakan kejayaan kami di Rio’

Impian rakyat Malaysia sudah pastinya mahu atlet negara membawa pulang pingat emas pertama buat negara, namun begitu 32 atlet yang menggalas cabaran di Sukan Olimpik kali ini turut mahukan sokongan serta doa daripada peminat sukan tempatan.

Mengakui bukan tugas mudah walaupun telah menyertai empat kali Sukan Olimpik, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata beliau lebih bersedia pada penampilan kali ini berbanding empat tahun lalu di London.

Pemenang pingat perak Olimpik London itu juga berharap rakyat Malaysia terus menyokongnya dan atlet negara yang lain pada temasya kali ini sebagai suntikan semangat buat mereka merealisasikan pingat emas pertama negara.

“Saya tahu harapan rakyat Malaysia mahu saya lakukan yang terbaik, saya akan cuba yang terbaik dan mungkin penampilan terakhir di Olimpik, apa cara sekali pun, saya akan usaha yang terbaik.

“Memang saya harap semua penyokong mendoakan yang terbaik kepada kami, di Twitter, Facebook dan media, banyak memberikan sokongan kepada saya, saya akan lakukan yang terbaik kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam Khamis.

Penerbangan skuad badminton serta atlet angkat berat, Mohd Hafifi Mansor dan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik, Tan Sri Al Amin Abdul Majid ke Brazil berlepas pada 2 pagi Sabtu.

Senada dengan Chong Wei adalah Mohd Hafifi yang teruja kerana pertama kali membuat penampilan di Sukan Olimpik itu.

Mohd Hafifi berkata beliau lebih bersemangat untuk menggalas cabaran tersebut dan berharap dapat melakukan angkatan yang terbaik pada kali ini.

“Saya sangat gembira, keluarga dari Terengganu turut bersama-sama dengan saya malam ini (tadi) di KLIA, saya lebih bersemangat untuk beraksi di Rio. Memang impian saya untuk beraksi di Olimpik. Teruskan menyokong kami atlet negara di Sukan Olimpik kali ini,” katanya. – Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2