Kata Badrul, doa sebegitu yang dibacanya bukan perkara baru kerana doa yang sama telah dibaca sejak awal reformasi, sebelum beliau dipenjarakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehinggalah sekarang.
“Ada orang tidak senang dengan doa saya semalam di Dataran Merdeka kerana konon biadab pada Mahathir.
“Sekadar itulah kemampuan saya menentang kezaliman yang akan saya jawab nanti bila ditanya di Mahkamah Allah.
“Saya tidak berani dan tidak mampu menegur secara berdepan dengan orang yang Zalim. Saya hanya mampu sekadar berdoa. Itulah senjata saya,” katanya di laman sosial Facebook beliau.
Sabtu lalu, Badrul Amin ketika membaca doa penutup Himpunan Mansuh GST meminta supaya pemimpin ‘Maha Zalim’ yang bertanggungjawab memenjarakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan balasan yang setimpal.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan sembilan tahun kerana didakwa melakukan kesalahan di luar tabii (liwat).
Susulan daripada itu, penyokong-penyokong Anwar menggelarkan Tun Mahathir sebagai Maha Zalim dan Maha Firaun sehingga kini.
Mengulas lanjut perkara itu, Badrul turut mempersoalkan mengapa doa yang telah dibaca selama 18 tahun itu baru kini dikritik dan dipertikai oleh teman ‘seperjuangan’.
“Adakah kerana hari ni kita teruja bila dapat bersama sepentas dan berkongsi mikrofon dengan Mahathir? Apakah itu memadam segala kezaliman yang dia lakukan satu masa dahulu?
“Demi Allah, saya tidak dendam dengan Mahathir. Saya hanya ingat pesan Nabi agar tidak redha dengan apa jua kezaliman. Nabi juga pesan agar lawan kezaliman setakat yang termampu. Dan itulah kemampuan saya,” katanya.
Bagaimanapun, Badrul menyifatkan mereka yang menegur doanya itu sebagai berani dan hebat.
“Saya pohon, tegurlah orang yang zalim itu secara berdepan mana tahu teguran anda membuatnya sedar dan segera bertaubat.
“Dalam konteks Mahathir, tegurlah dia mana tahu terbuka hatinya untuk minta maaf pada Anwar, keluarga dan rakyat.
“Ingat, GST hanyalah satu dari sekian banyak kezaliman yang bermula dari zaman Mahathir,” ujarnya.