Selaku Setiausaha Agung PKR, Rafizi berkata beliau akan mengambil tanggungjawab tersebut dan akan memohon kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Doa yang tidak kena dibacakan si akhir. Mengaibkan Tun Mahathir dengan doa tidak mengubah apa-apa malah memualkan rakyat. Itu satu kesilapan dan saya ambil tanggungjawab itu sbg Setiausaha Agung KEADILAN.
“InshaAllah saya akan memohon maaf secara peribadi dan akan disampaikan kepada beliau. Saya minta maaf bagi pihak KEADILAN kerana ada 1-2 perkara yang kurang cantik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabtu lalu, Badrul Amin ketika membaca doa penutup Himpunan Mansuh GST meminta supaya pemimpin ‘Maha Zalim’ yang bertanggungjawab memenjarakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan balasan yang setimpal.
Rafizi juga turut memohon maaf kepada tindakan segelintir yang berdemontrasi yang berada terlalu dekat dengan pentas utama sehingga mengganggu ucapan-ucapan pemimpin terutamanya Tun Mahathir.
“Banyak kamera media yang dialihkan ke arah mereka apabila makin kuat semasa Tun Mahathir bercakap.
“Saya pun tidaklah terlalu selesa dengan Tun Mahathir tetapi kena ada adab. Islam tidak mengajar kita mengaibkan orang. Dia sudah tua.
“Bagi saya dosa-dosanya dan kesilapannya biarlah di antara dia dan Allah. Sementara saya berhati-hati dengan dia, adab kena jaga dan mengaibkan orang tua itu adalah ‘poor taste’,’ katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Muafakat Selamatkan Malaysia di Pandan baru-baru ini dan Demonstrasi mansuh GST Sabtu lalu walaupun dalam keadaan cuaca panas terik.
“Alhamdulillah kedua-duanya berjalan dengan kehadiran yang baik mengambil kira mood semasa. Saya selalu pantau reaksi di media sosial untuk agak tahap sokongan rakyat.
“Maknanya walaupun ramai yang tak turun, ramai yang sokong demo dan apa yang kita buat. Permulaan yang baik kepada Pakatan Harapan sebagai pakatan yang akan mengambil alih Putrajaya selepas ini,” ujarnya.