Dividen TH bakal diumum April ini

KUALA LUMPUR: Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 dijangka pada April ini iaitu selepas audit penuh dijalankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini supaya audit dijalankan sebelum agihan dividen.

“Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan, jadi insya-Allah menjelang April nanti kita akan umumkan berapa dividennya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi asnaf di sini, malam tadi.

Ditanya jika agihan pada tahun ini akan membawa khabar gembira kepada pendeposit, Na’im meluahkan harapan supaya pihak pengurusan tertinggi TH dapat mencari jalan terbaik bagi mengimbangi pemberian dividen yang munasabah tanpa menjejaskan bantuan kewangan kepada jemaah haji dalam golongan B40 dan M40.

“Sebab ia tabung yang sama kalau kita berikan dividen yang tinggi ia akan mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji B40 dan M40, jadi pihak pengurusan tertinggi TH, saya harap dapat memikirkan dan mencari jalan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, TH mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus selepas mengambil kira zakat 2.57 peratus melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia