Dilema Melayu DAP

Jika bercakap mengenai pembangunan politik, DAP dan MCA masing-masing mempunyai dilema mereka sendiri, tiada siapa pun yang lebih cemerlang daripada yang lain. DAP mendakwa diri mereka adalah sebuah parti politik yang berbilang kaum, tetapi masih gagal untuk keluar daripada kawasan majoriti Cina. Malah jika DAP menghantar calon India dan Melayu bertanding sekali pun, mereka perlu bertanding di kawasan yang mempunyai peratusan tertentu pengundi. Jika tidak, parti itu langsung tidak dapat bersaing dengan UMNO ataupun PAS.

Tumbukan DAP juga sangat terhad, mereka tidak mampu menggoyahkan UMNO, PAS, PKR mahupun Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Sebaliknya DAP terpaksa memilih MCA dan GERAKAN sebagai “punching bag”.

Apabila DAP diserang dalam Perhimpunan Agung UMNO, PAS pula secara terbuka mengatakan tidak boleh bekerjasama dengan DAP, DAP sebaliknya memilih Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon sebagai subjek untuk mengalihkan perhatian, mencabar beliau berdebat dan sebagainya.

Dalam hal ini, Chong Sin Woon berterus terang mengatakan tidak perlu bercakap bagaimana untuk membawa harapan kepada Malaysia, lebih baik bercakap mengenai bagaimana kerjasama DAP Selangor dengan PAS di kerajaan negeri dapat memakmurkan lagi Malaysia. Kata-kata Chong Sin Woon tepat sekali tetapi DAP langsung tidak berani tampil memberi jawapan balas kepada Chong Sin Woon.

Rentak DAP tidak sepatutnya hanya terhenti dengan menewaskan MCA semata-mata, DAP perlu mencari jalan keluar untuk menyelesaikan isu satu lawan satu antara pembangkang dan BN sebelum menjelangnya PRU. Jika tidak, jumlah kerusi Parlimen MCA mungkin akan berkurangan sehingga kepada 30 kerusi dan perubahan rejim hanya cakap kosong sahaja.

Di samping itu, pakatan pembangkang seolah-olah sudah bersedia untuk menubuhkan sebuah pakatan politik “DAP + Perikatan Parti Melayu Pembangkang”, bagi menarik PAS untuk menyertai barisan pembangkang. Walau bagaimanapun, adakah masyarakat Cina akan ditindas lagi dalam pakatan besar politik ini? Bolehkah DAP melindungi kepentingan masyarakat Cina dengan berkesan? Atau akhirnya ia akan menjadi satu lagi drama “menyeru masyarakat Cina untuk menyokong PAS + Tun Mahathir” ?

“Semalam PAS, hari ini Tun Mahathir”, DAP seolah-olah sukar untuk melarikan diri daripada bergantung dengan orang lain untuk mendapatkan undi Melayu. Jika bergantung semata-mata dengan DAP, tidak mungkin dapat memenangi undi Melayu. Bagaimanapun kekuatan Melayu yang menjadi tempat DAP bergantung juga bukanlah rakan kongsi yang boleh dipercayai dengan mudah.

Sebahagian pengundi Cina berpendapat, tidak perlu untuk mempersoalkan kesilapan yang telah dilakukan oleh Mahathir di masa lalu. Hujah ini terbentuk kerana menganggap DAP boleh berjaya mempergunakan Tun Mahathir, tetapi hakikatnya bukankah sebelum ini pengundi Cina juga mempercayai PAS tidak akan meneruskan negara Islam? Sehinggakan pengundi Cina tidak teragak-agak untuk mengundi PAS semata-mata mahukan perubahan rejim.

DAP menggunakan Mahathir untuk menarik undi Melayu, juga untuk menyingkirkan pandangan orang ramai terhadap parti itu yang dikatakan anti-Melayu dan Islam. Pada sisi lain pula, DAP memilih pula untuk melepaskan kemarahan kepada MCA, membuatkan masyarakat Cina semakin membenci MCA dan dengan cara itulah DAP mendapat pertukaran undi.

Tugas utama DAP hari ini yang sedang diusahakan ialah untuk mengembangkan politik parti itu, Tun Mahathir dan MCA pula adalah batu loncatan penting kepada pembangunan parti. – Kwong Wah Yit Poh

Related posts

Kaedah pengiraan jatuhkan Najib

“Tugasan besar” DAP

Hadi Awang “Man of the year”