Ternyata, penggantungan operasi itu menyulitkan pengguna penerbangan itu terutamanya yang sudah membeli tiket penerbangan.
Di Facebook rasmi Rayani Air rata-rata pengguna kecewa dengan perkhidmatan syarikat itu yang akhirnya terpaksa menyusun semula jadual penerbangan mereka.
Malah, ada pengguna yang mendakwa sudah membuat tempahan tiket untuk satu rombongan membabitkan bayaran tiket bernilai puluhan ribu.
Bukan itu saja, lebih mengecewakan mereka apabila usaha untuk mendapat bayaran balik tempahan tiket sukar untuk dilakukan apabila talian khidmat pelanggan tidak berfungsi seperti diharapkan.
Lebih 2,000 pengguna meninggalkan komen di laman sosial terbabit, majoritinya mengkritik perkhidmat syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, Rayani Air dalam satu kenyataan memohon maaf kepada semua penumpang setia syarikat penerbangan itu yang kini sedang mengalami kesulitan secara langsung atau tidak langsung selama beberapa minggu.
“Kami di Rayani Air amat berdukacita di atas kekurangan perkhidmatan kami dan akan cuba perbaiki sedikit masa lagi.
“Rayani Air sebuah syarikat penerbangan baharu di negara ini. Banyak yang kami perlu perbaiki dan pelajari. Teruslah menyokong syarikat penerbangan kami.
“Semoga syarikat ini kekal relevan untuk semua lapisan masyarakat tidak mengira warna kulit dan terus terbang tinggi. Kami di Rayani Air mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat yang pernah terbang bersama kami,” katanya.
Rayani Air adalah sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang baharu beroperasi di negara ini beberapa bulan lalu.
Syarikat itu juga menjadi penerbangan pertama di negara ini patuh syriah apabila anak kapalnya mengenakan uniform menutup aurat selain tidak menghidangkan minuman keras dalam penerbangan.