Pelaku memukul Maria Abbasi dan kemudian menyimbahnya dengan petrol sebelum bertindak membakar mangsa dan meninggalkannya, kata ahli keluarga mangsa kepada CNN.
Menurut bapa saudara mangsa, Rafaqat Abbasi, Maria berada di rumah menjaga adiknya berusia 5 tahun ketika keluarganya keluar untuk menghadiri upacara pengebumian di bandar berdekatan.
“Pada majlis pengembumian, ahli keluarganya dimaklumkan Maria terlibat dalam satu kebakaran. Pada mulanya mereka menyangka dia mengalami kemalangan seperti gas bocor atau sesuatu insiden yang lain,” katanya.
Insiden ngeri itu berlaku pada malam Isnin di kampung Daqvel, pinggir Muree, timur laut Pakistan.
Sementara itu, menurut Inspektor Sohail Abbasi, empat lelaki yang tidak mempunyai pertalian persaudaraan dengan keluarga mangsa telah memecah masuk rumah berkenaan.
Menurut Rafaqat, anak saudaranya itu ditemui terbaring di atas lantai dengan kesan melecur hampir 85 peratus pada badannya.
“Tiada jalan utama yang menghubungkan kampung berkenan dan kami terpaksa membawa mangsa dengan kerusi ke jalan terdekat untuk mendapatkan bantuan ambulans.
Wanita itu kemudian dibawa ke Institut Sains Perubatan di Islamabad yang terletak kira-kira 50km dari kediaman mangsa untuk mendapatan rawatan namun dia disahkan meninggal dunia.
Menurut jurucakap Polis Punjab, Nabeela Gazanfar berkata, tiga suspek telah ditahan berhubung kejadian. Waran tangkap untuk penahanan empat individu telah dikeluarkan.
Ketua Menteri Wilayah Punjab mengarahkan satu kumpulan penyiasatan dibentuk bagi menyiasat kes berkenaan.
Menurut Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Pakistan, keganasan terhadap wanita semakin menjadi-jadi di negara itu.
Pada tahun 2015, polis telah menyiasat 76 kes wanita telah dibakar.