Dharmendran mati kerana kekerasan fizikal, kata EAIC

Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, laporan bedah siasat daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei 2013 mendapati kematian Dharmendran disebabkan ‘diffuse soft tissue injuries due to multiple blunt force trauma’.

Katanya, laporan bedah siasat itu juga mendapati wujud 52 kecederaan dalam bentuk kesan lebam pada mayat Dharmendran semasa dalam tahanan polis empat tahun dahulu.

“Kesan lebam itu dipercayai berpunca daripada hentakan objek atau benda tumpul yang mengakibatkan kehilangan darah dengan banyak sehingga menyebabkan renjatan hipovolemia.

“Terdapat dua dawai kokot tertanam di telinga si mati, iaitu satu di telinga kanan dan satu di telinga kiri yang meninggalkan kesan berlubang,” katanya dalam sidang media berhubung laporan siasatan kes kematian Dharmendran, di pejabatnya di Putrajaya, pada Khamis.

Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memerintahkan Inspektor S. Hare Krishnan, 42; Sarjan Jaffri Jaafar, 46; Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47; dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran, 32, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, IPKKL di Jalan Hang Tuah antara 18 hingga 21 Mei 2013.

Dharmendran ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia