Dengusan King Cobra Dalam Bilik Air Kejutkan Penghuni

SIK: Bunyi dengusan di atas alang kayu bilik air mengejutkan seorang penduduk di Kampung Batu 2, Sungai Pau, di sini apabila mendapati seekor ular tedung selar sedang ‘berehat’ di situ.

Berikutan itu, penduduk terbabit menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik untuk mendapatkan bantuan menangkap ular tedung selar atau turut dikenali sebagai King Cobra.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran ular itu pada jam 10.22 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya tiba di lokasi dan mendapati ular tedung selar itu masih berada di kawasan itu.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tedung selar sepanjang empat meter itu dan operasi dilakukan dengan berhati-hati kerana ular King Cobra itu sangat berbisa.

“Dengan menggunakan penjerut dan pengalaman serta kemahiran yang ada, anggota kami berjaya menangkap ular berkenaan selepas reptilia itu cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam rekahan dinding rumah penduduk berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Haisul Aisyah berkata, ular tedung selar itu kemudian dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik sebelum diserahkan kepada pihak PERHILITAN Sik.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam terus peka dan sentiasa waspada berikutan cuaca panas mengundang reptilia berbisa untuk tumpang berteduh di kediaman terutama kawasan sejuk iaitu bilik air, bilik tidur dan bawah katil.

Beliau berkata, orang awam boleh menghubungi APM Sik di talian 04 469 8221 sekiranya terdapat sebarang kes kecemasan membabitkan kehadiran ular dan sebagainya. -Berita Harian Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia