Demi PM, nasi vanggey tidak akan naik harga

Mohammad Nihmathullah berkata, beliau amat berbangga dan berbesar hati apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan nasi di kedainya contoh kepada makanan yang sedap dan murah.

“Perasaan saya amat gembira sekali apabila PM menjadikan kedai saya contoh untuk mendapatkan makanan yang murah tapi sedap, ini satu penghormatan dan penghargaan yang tak terhingga bagi saya.

“Apabila PM sendiri sudah berkata begitu saya akan cuba sedaya upaya saya untuk tidak menaikkan harga sebagai tanda menghormati beliau,” katanya kepada Bernama.

Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 memberikan contoh bahawa ‘Nasi Vanggey’ atau lebih dikenali nasi ganja iaitu sejenis nasi kandar merupakan sajian yang sedap dan harga ‘boleh tahan’.

Bagi sepinggan nasi, lengkap dengan lauk ayam dan sayur dijual pada harga RM4.80, manakala jika ditambah telur masin menjadi RM5.50.

Mohammad Nihmathullah juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta semua pelanggan yang memberi sokongan sehingga sajiannnya dikenali seluruh dunia.

“Pelanggan bukan sahaja dari dalam negara malah luar negara, setiap hari ada sahaja pelanggan baharu datang mencuba makanan di sini.

“Saya percaya dengan menggunakan restoran saya sebagai restoran contoh sudah pasti lebih ramai akan datang ke sini seterusnya menjadi tarikan pelancong,” katanya.

‘Nasi Vanggey’ yang terletak di Jalan Yang Kalsom di sini merupakan satu destinasi wajib dikunjungi apabila datang ke Perak.

Makanan itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri ketika menyampaikan Amanat Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 30 Ogos lalu yang menjadikannnya sebagai contoh Detik Kebersatuan.

Ini kerana nasi tersebut dijual oleh seorang India Muslim yang beroperasi di restoran milik orang Cina, manakala pelanggan terdiri daripada pelbagai kaum yang jelas menterjemahkan konsep kebersatuan. 

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia