Menurut beliau, virus itu dikenal pasti melalui simptom-simptom yang dialami wanita tersebut seperti mengalami demam dan mendapat ruam di beberapa anggota badan.
Jelasnya, virus tersebut disyaki menjangkiti wanita berusia 58 tahun tersebut selepas dia pulang dari menziarahi anaknya di Singapura yang mana anaknya dijangkiti virus berkenaan di negara terbabit.
“Wanita itu ada gejala demam dan ruam pada 28 Ogos. Pada 30 Ogos dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang. Memandangkan dia ada sejarah ke Singapura dan ada anak yang dijangkiti virus zika doktor merawatnya sebagai ‘disyaki kes zika’.
“Pada hari yang sama, wanita tersebut dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati dia positif virus zika manakala keputusan ujian darah masih belum dikeluarkan lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya pada Khamis.
Menurut Subramaniam, punca jangkitan disyaki berlaku di Singapura memandangkan hari pesakit mula mengalami tanda-tanda virus zika adalah sama dengan hari anaknya mula dirawat di negara tersebut.
“Suami wanita tersebut yang turut sama melawat anaknya di Singapura tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan virus zika termasuk beberapa ahli keluarga yang tinggal bersama di Bandar Botanic.
“Bagi tempoh 21 hingga 28 Ogos iaitu sekembalinya dari Singapura, wanita tersebut teah berkunjung ke beberapa kawasan di daerah Klang dan Kuala Lumpur, kontak terdekat pesakit diperiksa dan dipantau sama ada mereka mengalami demam atau simptom zika yang lain,” katanya.
Susulan kes tersebut katanya, kementerian telah memulakan kawalan vektor di kawasan kediaman kes dan tempat-tempat yang telah dilawati oleh pesakit, aktiviti kawalan termasuk menghapuskan tempat pembiakan aedes dan semburan kabus.
Sementara itu katanya, maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Singapura mendapati terdapat lima orang rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di negara itu juga disahkan dijangkiti virus zika.
“Bagi tempoh 27 hingga 31 Ogos, terdapat 115 kes dilaporkan di Singapura. Oleh kerana jangkitan virus zika cepat merebak, pemantauan dan aktiviti pencegahan aedes diteruskan serta ditingkatkan di semua negeri terutama Johor dan Selangor,” katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan wanita mengandung atau merancang untuk mendapatkan anak supaya melakukan ujian darah bagi memastikan mereka bebas virus zika kerana ia boleh merebak melalui hubungan seks.