Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata polis turut merampas 22 pistol, selaras senapang, 916 peluru, wang tunai RM167,193, dua kenderaan dan barang kemas, serta dadah bernilai RM1.75 juta dalam operasi itu.
Kesemua yang ditahan disyaki menganggotai Geng 360 Deven (Lembah Klang), Geng 24 Pulau Pinang, Geng William (Pahang), Geng Latino Dago (Colombia), Geng 04 Sungai Siput, Gang 21 Japan dan Gang 04 Paper Kumar (Pulau Pinang), katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.
Terbaru, pada 3 Februari lepas, 38 anggota Geng 360 Deven berusia antara 19 hingga 62 tahun termasuk empat orang bergelar Datuk ditahan kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes bunuh dan culik sekitar Lembah Klang.
Menurutnya hasil operasi di sekitar Lembah Klang itu polis merampas lapan pucuk pistol, selaras senapang, 768 peluru, heroin seberat 10.85 kilogram, syabu seberat 20.81 kilogram, enam biji pil Eramin 5 dan lapan gram ketamin selain merampas dua buah kenderaan dan barang kemas serta wang tunai berjumlah RM37,193.
Mohmad berkata daripada 38 suspek itu, seramai 22 orang telah ditahan di bawah peruntukan Sosma mulai 7 Februari dan baki 16 lagi suspek masih disiasat di bawah Seksyen 302 kanun Keseksaan dan juga akan diambil tindakan dibawah Sosma setelah selesai reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Pada 27 Januari lepas, seramai 22 anggota Geng 24 Pulau Pinang termasuk seorang bergelar Datuk Seri telah ditahan di bawah Sosma bersama tiga senjata api, 60 peluru dan wang tunai RM130,000 manakala sembilan suspek lagi masih bebas.
Polis turut menahan 10 anggota Gang 21 Japan termasuk seorang Datuk yang terbabit dalam beberapa kes pembunuhan menggunakan senjata api dan culik di kawasan Wilayah Iskandar Johor untuk tempoh tahun 2013 hingga 2015 melibatkan tiga kes bunuh, dua kes cubaan bunuh dan satu kes culik.
Pertuduhan di bawah Sosma turut diambil terhadap lima anggota Geng William (Pahang) manakala seorang lagi anggota geng sama dituduh di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) susulan kes culik seorang bergelar Datuk di Bandar Indera Mahkota, Kuantan Pahang pada 26 Dis 2015.
Menurut Mohmad, sejak Ops Cantas 2015 polis turut menahan 10 anggota Geng Latino Dago (Colombia) termasuk tujuh warga Colombia yang aktif dalam kes samun dan pecah rumah mewah selain menahan beberapa anggota Geng 04 Sungai Siput, dan Gang 04 Paper Kumar (Pulau Pinang).
Beliau berkata Ops Cantas membabitkan tiga pasukan khas PDRM iaitu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).