DAP perlu terima dasar Islam PAS terlebih dahulu

PAS tidak mudah untuk menerima kembali pelawaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) kerana sudah dua kali parti itu dikecewakan DAP.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim, berkata PAS tidak pernah merosakkan kerjasama parti itu dengan DAP dan ia diketahui umum.

“Namun sayugia diingatkan bahawa PAS kekal dengan janji dan setia kepada perjanjian sehinggalah DAP terlebih dulu yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS serta secara berterusan menyerang segala dasar dan prinsip perjuangan PAS. Ini semua menjadi rahsia umum yang disedari oleh majoriti rakyat Malaysia.

“DAP Sarawak telah memutuskan hubungan dengan PAS lebih awal sebelum pecahnya kerjasama dalam pakatan dengan hasrat dan tujuan supaya mereka beroleh manfaat yang besar dalam pilihanraya negeri.

“Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen memutuskan komunikasi dengan PAS serta PKR sejak Oktober 2014 lagi atas alasan bimbang kumpulan ulama akan menguasai kepimpinan PAS serta tegas dalam memperjuangkan hudud. PKR juga menerima tempias apabila tiada pendirian yang jelas pada waktu itu berkaitan hudud yang diperjuangkan oleh PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Seruan supaya PAS kembali ke pangkuan pakatan pembangkang kuat kedengaran selepas pembangkang tewas teruk pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa PAS agar kembali ke pangkuan pakatan itu.

PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP turut membina blok baharu pembangkang dengan kerjasama parti IKATAN.

Sementara itu, Nazman berkata ramai sudah kembali membuka mata akan perlunya kerjasama yang erat dalam kalangan parti pembangkang di negara ini khususnya kepentingan PAS dalam mana-mana gerakan ingin berdepan Barisan Nasional (BN).

“Justeru, pasca PRN-11 terus kedengaran suara dari PKR dan DAP yang mahu PAS kembali bekerjasama dalam mendepani UMNO-BN.

“Jika DAP mahupun PKR melihat keperluan PAS untuk bersama kembali dalam satu ketumbukan, maka sudahkah kalian bersedia untuk menerima dengan hati dan minda yang seluas-luasnya terbuka, akan segala dasar dan asas perjuangan PAS sejak sekian lama ini, Jika tidak, lupakanlah.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri