Sehubungan itu Penasihat DAP Lim Kit Siang mendesak PAS menjelaskan motif parti Islam itu menyatakan alasan mereka berlmebut apabila bersetuju dengan prinsip satu lawan satu untuk menentang BN dalam PRU14.
“Kami telah digambarkan sebagai orang jahat, musuh Islam jadi kami perlu kaji terlebih dahulu kenyataan itu.
“Harap tidak ada yang cuba bermain. Saya harap PAS tidak hantar mesej itu kepada Umno apabila mereka tidak sokong RUU Akta 355, dia cuba bermain dengan menghantar mesej kepada (Perdana Menteri) Najib (Razak), biarkan mereka jelaskan apa niat mereka,” katanya kepada wartawan ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Kit Siang turut melahirkan rasa hairan dengan perkembangan terbaru tersebut seolah-olah PAS memberi gambaran akan bekerjasama dengan semua parti pembangkang walaupun sebelum ini menyifatkan DAP sebagai musuh Islam.
“Selama ini kami digelar orang jahat dan sekarang pula kami digelar orang baik?,” katanya lagi sambil menegaskan pendirian parti itu dalam menentang BN adalah sama seperti PAS iaitu dengan hanya mewujudkan pertandingan satu lawan satu.
“Kami semua terbuka untuk bertanding satu lawan satu melawan BN, itu pendirian DAP,”katanya lagi.
Terdahulu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilaporkan berkata PAS bersedia dengan konsep satu lawan satu namun perkara itu terpulang kepada budi bicara parti-parti pembangkang yang lain termasuk DAP.
Tambahnya, PAS perlu memimpin kerjasama tersebut memandangkan hubungan parti itu dengan parti kerajaan dan pembangkang yang pernah terjalin sebelum ini tidak menjadi.
Untuk rekod, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan Pindaan Akta 355 mungkin tidak sempat dibahaskan di Dewan Rakyat bagi sesi sidang terakhir Parlimen tahun ini.
Jelas Azalina, persidangan hanya mempunyai baki dua hari lagi selepas perbahasan Bajet 2017 selesai, tetapi urusan kerajaan perlu didahulukan.