Dakwaan TMJ tidak berasas- FAM

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, selama ini, pihaknya telah berusaha keras untuk membasmi kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral itu, malah telah mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi memastikan badan tersebut bersih daripada aktiviti yang tidak sihat itu.

Jelas Hamidin lagi, pegawai-pegawai yang menerajui FAM terdiri daripada kalangan ahli perniagaan, politik serta jabatan kerajaan dan swasta dan setiap pemilihan itu berjalan mengikuti undang-undang persatuan.

“FAM ada peraturan dan ia tidak boleh ditadbir sewenang-wenangnya. Setiap keputusan hendaklah mendapat persetujuan daripada semua ahli jawatankuasa dan bukan dibuat oleh seorang individu sahaja.

“Jika ada pihak yang mendakwa ada berlaku kegiatan ‘gelap’ dalam FAM, ia adalah dakwaan yang tidak berasas.

“Kami di FAM juga tidak membenarkan budaya rasuah dalam persatuan kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut bertegas dalam menangani hal ini.

“FAM turut menubuhkan Jawatankuasa Integriti FAM untuk memantau bukan sahaja pasukan-pasukan bola sepak malah keseluruhan pentadbiran dan juga barisan kepimpinan persatuan ini,” kata Hamidin pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, Tunku Ismail menerusi laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers menjelaskan bahawa baginda memiliki bukti di dalam pemacu pena (pendrive) yang mengandungi maklumat-maklumat aktiviti ‘gelap’ di dalam FAM.

Titah baginda, pemacu pena tersebut mempunyai maklumat berkenaan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Hamidin menegaskan Pengurusan Kewangan FAM bukan terletak di tangan Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sahaja, sebaliknya segala keputusan mengenai perbelanjaan dan pemilihan penaja perlu melalui Jawatankuasa Kewangan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan beberapa anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“FAM bukan persatuan murahan dan segala bentuk urusan dibuat dengan teliti,” jelasnya.– Kosmo! Online

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2