Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata susulan laporan media Kemboja dan tempatan pada 17 Ogos lalu berhubung dakwaan membabitkan lima warga Kemboja dan dua warga Vietnam itu, EAIC membuat lawatan mengejut ke depot tahanan berkenaan pada 22 Ogos lalu.
Ia turut disertai dua pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata 10 tahanan wanita telah ditemu bual oleh penyiasat EAIC termasuk satu-satunya wanita Kemboja bernama Kheng, 18, yang masih ada di depot itu.
“Kheng yang ditahan mulai 1 Julai lalu atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah telah mengesahkan layanan baik oleh pegawai imigresen dan tiada tahanan yang didera sepanjang berada di depot itu,” kata Yaacob.
Katanya, sebelum Kheng ditempatkan di depot itu, terdapat 17 wanita warga Kemboja ditahan di situ sejak Disember 2015 sehingga Jun 2016, dan kesemuanya dihantar pulang ke Kemboja pada 13 Julai lalu.
EAIC membuat kesimpulan bahawa dakwaan kematian warga asing berkenaan yang dikatakan akibat penggunaan kekerasan adalah jelas tidak berasas, katanya.
Tambahnya, ketika lawatan dibuat, 595 tahanan ditempatkan di depot itu termasuk 289 warga Myanmar. – Bernama