Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata demikian namun dalam masa yang sama menggesa masyarakat untuk tidak mengambil mudah ancaman militan terbabit.
“Militan Daesh ini memang boleh memberi ancaman kepada negara. Ia bermula di Timur Tengah iaitu di Iraq, Syiria, mana-mana negara Arab dan lain-lain negara.
“Masyarakat perlu berhati-hati dengan kuasa besar ini dan perlu menghalang campur tangan serta urusan negara bagi mengelak dari dipengaruhi dan lebih menyukarkan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program GenEX Generasi Muda Berjaya (GMB) Separuh Akhir dan Program Latihan dan Misi Perdagangan, di Hotel Grand Riverview, di sini, hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman menggesa semua polis di Kelantan diarahkan sentiasa peka dengan perkembangan di sekeliling mereka bagi mengelak negeri itu menjadi transit kepada suspek yang terbabit dengan kegiatan militan Daesh.
Ia berikutan tangkapan dua suspek disyaki terbabit dengan kegiatan militan Daesh di kawasan berbukit di Kuala Krai pada 9 Ogos lalu, malah dua suspek yang dikehendaki atas kes letupan bom di sebuah pub di Puchong ditahan dengan bantuan Platun Tiger, Batalion 8, Pasukan Gerakan Am di Kuala Krai pada 9 Ogos.
Mengulas mengenai penangkapan berkenaan, Mustapa tidak menolak perkara berkenaan terjadi mungkin sesetengah mereka dilindungi keluarga yang juga orang tempatan negeri ini.
“Militan Daesh ini sukar dikenali dan pergerakan mereka tidak terbatas, yang penting kita perlu ingat ancaman ini adalah benar-benar berlaku, jadi perkara ini perlu diambil serius,” katanya. –Sinar Harian Online