Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata sokongan itu bagi memastikan kerajaan terus mendapat kepercayaan rakyat sepanjang masa.
“Kami yakin hubungan antara pekerja dan majikan ini umpama ayah dan anak. Jika hubungan ini baik, kita yakin dan percaya, natijah yang akan kita peroleh akan memberi kelebihan yang menggembirakan rakan kita di pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri CUEPACS Perak dan Perasmian Perwakilan Tritahunan CUEPACS Negeri Perak pada Jumaat.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan. Azih berkata, kerajaan tidak sesekali membelakangi kakitangan awam dan meninggalkan penjawat awam dalam keadaan yang serba salah.
“Kalau kita imbas kembali beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan amat komited untuk membantu penjawat awam seperti mana yang disuarakan oleh kesatuan pekerja bermula dari aspek gaji hingga kepada perumahan.
“Walaupun hari ini kita berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, tetapi yakinlah, apabila ada kestabilan politik, ekonomi negara akan terus berkembang tuntutan oleh kesatuan pekerja dapat dipenuhi oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Zambry ketika berucap di majlis itu, melahirkan penghargaan kepada kakitangan awam yang membantu membangunkan Perak.
“Selama ini, anda semua bersama dengan saya, meneruskan perjuangan kita dalam usaha untuk membangunkan Perak. Kita berjaya membina satu pasukan yang cukup baik,” katanya. Berita Harian