Cuaca panas, ancaman strok haba antara cabaran jemaah haji

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata cuaca panas dijangka mencecah lebih 50 darjah Celsius di Makkah,berbanding 48 darjah Celsius pada tahun lepas.

“Akibat cuaca panas, kita khuatir ancaman strok haba ke atas jemaah kita, sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya kepada media Malaysia di Makkah semalam.

Abdul Azeez berada di Makkah bagi meninjau persiapan TH bagi musim haji kali ini.

Beliau berkata pada musim haji tahun lepas, sebanyak 43 jemaah Malaysia meninggal dunia antaranya akibat strok haba, sakit jantung, barah, terbabit dalam tragedi kren tumbang di Makkah serta menjadi mangsa rempuhan di Mina.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah supaya minum air lebih banyak bagi menghidratkan tubuh terutamanya semasa beribadah di Mina dan Muzdalifah.

Menurutnya ada juga kes strok haba yang menyebabkan kematian jemaah setelah mereka tidak mengambil ubat-ubatan mengikut jadual.

Abdul Azeez berkata tahun ini, TH menyediakan 600 petugas untuk mengawal selia jemaah haji serta dimaklumkan mengenai keadaan cuaca dan ancaman strok haba itu.

Ditanya mengenai rayuan kuota tambahan jemaah Malaysia, beliau berkata keputusan mutlak mengenainya akan dimuktamadkan Arab Saudi.

“Pihak kita sudah ambil langkah awal untuk membuat persediaan penginapan dan lain-lain andainya kuota rayuan diluluskan,” katanya sambil menjelaskan kerajaan Malaysia meminta kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah.

Abdul Azeez berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan kelulusan rayuan kouta itu.

“Sudah banyak kali perdana menteri menjadi ‘talian hayat’ terakhir kita selepas segala usaha dijalankan seperti kes sebelum ini. Perdana menteri mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi yang dapat membantu kita mendapatkan kuota tambahan,” katanya.

Beliau menjangkakan pengumuman kuota tambahan dibuat akhir Julai ini.

Abdul Azeez juga meminta mereka yang menunggu giliran atau membuat rayuan menunaikan haji supaya mengemas kini buku dan nombor telefon masing-masing bagi memudahkan pihak TH menghubungi mereka, sekiranya Malaysia memperoleh kuota tambahan itu. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia