IPOH: Seekor harimau dahan ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kilometer 253.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Trong menghala ke Beruas, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah mengambil bangkai harimau berkenaan petang semalam selepas menerima aduan daripada polis bantuan WCE.
“Bangkai harimau dahan itu telah kembung dan busuk, kita percaya haiwan itu telah dilanggar kenderaan dua hari sebelumnya berdasarkan keadaan bangkai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Yusoff berkata harimau jantan spesies ‘clouded leopard’ seberat 20 kilogram itu dianggarkan berusia lima tahun.
Beliau berkata harimau dahan merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan seorang individu menemukan seekor harimau yang telah mati dihurungi lalat dan berbau busuk di tepi penghadang besi lebuh raya berkenaan. – Bernama