Pada perlawanan pusingan kedua yang berlangsung awal pagi waktu Malaysia, Chong Wei mengambil masa 40 minit untuk menewaskan pemain India, H.S Prannoy dengan 21-10, dan 22-20 di Odense Sports Park.
Menanti jaguh badminton negara itu di pusingan seterusnya adalah Brice Leverdez dari Perancis yang mengalahkan pemain perseorangan dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-19 dan 21-17.
Chong Wei pernah menjuarai Terbuka Denmark pada 2005, 2006 dan 2012.
Sementara itu, V Shem dan Wee Kiong mengambil masa 46 minit untuk menundukkan lawan mereka Marcus Ellis/Chris Langridge dari England dengan 21-18, dan 21-17.
Mereka akan menentang beregu China, Li Junhui/Liu Yuchen yang mudah mengetepikan Kim Astrup/Anders Ska Rasmussen dari Denmark, 21-10, 21-19 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
Bagaimanapun pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei tersingkir selepas tewas kepada beregu pilihan ke-13 kejohanan, Stefani Stoeva dan Gabriela Stoeva dari Bulgaria, 13-21 dan 19-21. – Bernama