Cheong Jun Hoong bakal terima ganjaran dari Perak

Kerajaan negeri tersebut akan memberi ganjaran kepada Jun Hoong dan perkara berkenaan diumumkan sendiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir hari ini.

“Ketika ini, ganjaran yang disediakan oleh Majlis Sukan Negeri ialah RM15,000 untuk individu dan RM5,000 untuk berpasukan jika meraih pingat perak di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita akan memikirkan sesuatu ganjaran lain kerana acara disertainya itu membabitkan pasukan disertai dua orang sahaja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Ipoh, hari ini.

Zambry mengucapkan tahniah dan menyatakan penghargaan kerajaan negeri yang berbangga dengan pencapaian dicatatkan atlit kelahiran Ipoh yang masih menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Beliau berharap pencapaian Jun Hoong dapat menjadi inspirasi kepada atlit Perak yang lain untuk mencatatkan kejayaan sama.

Katanya, Jun Hoong adalah anak Perak kedua berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik selepas Cheah Soon Kit yang melakukannya bersama Yap Kim Hock, dalam acara beregu badminton pada Sukan Olimpik Atlanta 1996. –BH Online

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2