Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor Mohd Rizal Buang berkata punca sebenar kejadian belum dikenal pasti kerana siasatan kebakaran masih dilakukan.
Beliau berkata pasukannya masih menjalankan siasatan dan mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk dibawa ke makmal ibu pejabat JBPM negeri selain merekod dan menemu bual saksi kejadian.
“Saya sendiri yang mengetuai operasi itu…saksi memberitahu kebakaran berpunca dari bilik rawatan. Bilik rawatan cuma ada peti ais yang menempatkan ubat-ubatan…itu sahaja yang kita nampak di lokasi itu,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di HSA hari ini.
Mohd Rizal berkata pihaknya juga menyerahkan kembali kepada HSA untuk tindakan lanjut setelah pemantauan Aras 1, yang ditutup sementara akibat percikan api semalam, didapati tiada bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran.
Namun, pasukan bomba sentiasa ditempatkan di HSA ketika operasi pembersihan dijalankan, katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rizal menyarankan supaya semua bangunan terutamanya bangunan lama menjalani pemeriksaan tahap keselamatan serta menaik taraf sistem keselamatan.
“Bangunan lama memang kita nasihatkan (diperiksa) kerana boleh mendatangkan masalah. Jika bangunan lama dan dibina mengguna kayu sepenuhnya, itu memang agak risiko,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga telah menyarankan supaya bangunan lama dinaik taraf menggunakan bahan yang tidak mudah terbakar selain dipasang dengan sistem keselamatan kebakaran sama ada sistem pasif atau aktif.–Bernama