Cadangan CEUPACS bersara 62 tahun tidak relevan

Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk menaikkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun dilihat membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Pengerusi Giat Mara, Datuk Azian Osman berkata, cadangan tersebut perlu ditolak kerana bakal melambatkan proses kenaikan pangkat bagi kakitangan lain dan menyekat peluang pekerjaan khususnya kepada lepasan institusi pengajian tinggi.

“Sebelum ini kita menyokong tindakan kerajaan menaikkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60, tetapi bila dicadangkan naik sehingga 62 tahun, keterlaluan.

“Apabila yang di atas tak keluar-keluar, yang di bawah macam mana hendak naik kerana kenaikan pangkat akan menjadi lambat untuk mereka yang di bawah,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timur di sini hari ini.

Beliau mengulas usul Pergerakan Wanita Umno bahagian Ipoh Timur yang mahu kerajaan menolak cadangan CUEPACS kerana jika dilaksanakan ia akan menghalang peluang golongan muda mendapat peluang pekerjaan dan seterusnya menyukarkan usaha mengurangkan pengangguran.

Azian yang juga Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur berkata, kenaikan umur persaraan dianggap tidak relevan kerana keupayaan fizikal seseorang individu yang berusia lebih 60 tahun semakin berkurangan.

“Tenaga pun dah kurang untuk menjawat jawatan penting dalam kerajaan, berlainan dengan ahli politik kerana selagi orang suka kalau dah berumur 70 tahun pun boleh lagi berkhidmat kerana telah dipilih oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda meminta kerajaan supaya membuat pertimbangan bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

Beliau berkata, kebanyakan negara seperti Thailand, Singapura, Sri Lanka, Eropah serta Amerika Syarikat melanjutkan usia persaraan penjawat awam mereka kepada 65 tahun. -Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia