Buruh Thailand mangsa ke-18 strok haba

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata lelaki berusia 46 tahun itu bekerja di sebuah tapak pembinaan mengalami kekejangan pada kedua-dua tangan dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 3 petang.

Beliau berkata lelaki tersebut bekerja di bawah panas terik selama empat jam sebelum itu, tiba di Hospital Langkawi pada pukul 3.30 petang bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya hasil pemeriksaan, suhu badan mangsa berada pada 42 darjah Celsius dan selepas sejam dirawat, mangsa kembali sedar serta suhu badan telah turun kepada 39.7 darjah Celsius.

“Mangsa telah dimasukkan ke wad bagi rawatan lanjut. Setakat ini jumlah kes berkaitan cuaca panas di negeri ini berjumlah 18 kes, kes pertama berlaku pada 2 Mac lepas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Norhizan berkata daripada 18 kes yang direkodkan, sebanyak tiga kes mengalami kekejangan otot, 14 kes keletihan haba dan satu kes strok haba.

Beliau berkata tujuh kes melibatkan pelajar sekolah yang mana satu kes pelajar mengalaminya ketika melakukan aktiviti di sekolah manakala enam kes di luar waktu persekolahan.

Beliau berkata dua kes lagi berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun dan satu kes membabitkan seorang warga emas berumur 81 tahun.

“Lapan kes lagi mangsa berumur 20 hingga 51 tahun. Daripada 18 kes yang dilaporkan, enam kes dimasukkan ke wad dan 12 lagi mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Katanya orang ramai perlu mematuhi nasihat yang telah diberikan oleh pihaknya menerusi pelbagai medium bagi mengelak berlakunya masalah kesihatan berkaitan cuaca panas kerana jika lewat mendapat rawatan, ianya boleh menyebabkan kematian.– Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia