Belum reda kes itu, dua hari lepas kecoh cerita pelakon, Rozita Che Wan tidak dapat ke luar negara gara-gara tidak membayar cukai. Sepatutnya dia ke London untuk menyambut hari lahir anaknya, Aaisyah Dhia Rana pada 30 Oktober lepas, tapi hajat itu tidak kesampaian gara-gara isu tersebut.
Jika anda semua masih ingat, ini bukan kali pertama pelakon yang mesra dipanggil Che Ta itu tidak dibenarkan ke luar negara. Dua tahun lepas, dia juga berdepan dengan masalah yang sama, tidak boleh keluar negara gara-gara masalah dengan LHDN.
Ramai yang mempersoal tindakan Che Ta. Mengapa dia boleh ke luar negara saban bulan tetapi sungguh liat untuk membayar cukai? Mengapa dia menunjukkan kehidupan mewah tapi bab bayar cukai mengelat?
Bila sudah ‘dikejar’ dan perjalanan ke luar negara sudah disekat, baru terhegeh-hegeh melunaskan tunggakan. Akibatnya, diri sendiri yang menanggung malu dan terpaksa berdepan dengan jumlah bayaran cukai yang tinggi.
Berbicara dengan pelakon Diari Ramadan Rafiq ini, Che Ta pantas menafikan fakta mengatakan dia tidak membayar cukai kepada pihak kerajaan. Tegasnya, dia tidak pernah lupa untuk membayar cukai.
Cuma, jelas pelakon ini, jumlah tunggakan cukai yang terlalu tinggi membuatkan dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk membuat bayaran. Bukan mengelat, cuma dia sekarang tidak mampu untuk membayar jumlah keseluruhan yang ditetapkan.
“Maaf ya, saya bukan tidak bayar cukai pendapatan, setiap tahun saya bayar tau. Cuma jumlah bayaran tersebut masih tidak cukup kerana LHDN kata tunggakan terlalu banyak. Sebab itu perjalanan saya ke luar negara disekat.
“Saya kena langsaikan tunggakan berjumlah hampir sejuta ringgit itu terlebih dahulu. Kemudian baru boleh ke luar negara,” katanya.
Menurut Rozita, dia menjelaskan hal ini bagi menjawab tohmahan banyak pihak kononnya dia bukan warganegara yang bertanggungjawab apabila tidak menjelaskan cukai tersebut.
“Sebelum orang komen saya sibuk bercuti berfoya-foya tapi tidak bayar cukai saya kena jelaskan. Maaf ya, saya bayar cukai kerajaan, okay!,” katanya sekali lagi.
Ironinya, pelbagai pihak mempersoal mengapa tidak Che Ta menggunakan duit percutian mewahnya sebelum ini untuk membayar tunggakan cukai yang mencecah ratusan ribu ringgit itu?
Apa sekalipun, hanya pelakon cantik ini sahaja ada jawapannya.
Seringkali tampil dengan kontroversi, dia langsung tidak kisah.
Biarpun apa juga yang dipersoal atau diperkata netizen, konsep Che Ta satu sahaja, ‘ada aku kisah?’
Namun, pada saat isu ini sedang hangat bak pisang goreng, ada pula netizen yang sempat mencucuk jarum dan memerli pelakon tersebut, memetik Utusan Online.