Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 35, berkata, dia akan memberi penjelasan berhubung cerita berkenaan dalam masa terdekat.
“Kepada semua sahabat rakan media, saya akan maklumkan untuk sidang media untuk perkongsian dan bukan penjelasan sebab apa yang berlaku bukan satu dosa. Terima kasih,” kata Adi dalam Instagram miliknya pada Jumaat.
Adi berkata, dia meminta pihak yang mendedahkan berita pernikahannya itu agar tidak mencampuri urusan rumah tangganya dan akan mengambil tindakan.
Terdahulu foto perkahwinan kedua Adi telah tersebar pada Sabtu lalu yang antara lain mengaitkan perkahwinan rahsianya dengan seorang wanita berusia 33 tahun, seorang janda anak satu.
Akhbar melaporkan mereka berkahwin pada Ramadan lalu iaitu 19 Jun lepas.
Adi bagaimanapun tidak menjawab sebarang panggilan telefon ketika dihubungi namun tidak lama kemdian dia memuat naik sekeping gambar bersama isteri pertamanya, Aida Yusof, 41, yang dipercayai dirakamkan di luar negara.
Rumah tangga Adi dan Aida sebelum ini pernah berhadapan dengan masalah apabila Adi memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur terhadap Aida pada 11 Mei 2012 namun membatalkan hasrat itu kemudiannya.
Hasil perkahwinan mereka sejak 14 April 2006, pasangan itu tidak mendapat cahaya mata kerana Aida sering keguguran namun mereka mempunyai seorang anak angkat perempuan berusia empat tahun. –mStar