Bukan Najib suruh saya kekal dengan KAFA, kata Annuar Musa

Annuar sebaliknya berkata, Najib juga tidak pernah meminta beliau kekal atau meninggalkan KAFA sebaliknya beliau hanya menyuarakan kebimbangan dengan situasi semasa The Red Warrior memandangkan peminat-peminat Kelantan begitu dikaguminya.

“Belum apa-apa kita sudah cerita macam-macam … Inilah yang merosakkan kita, prejudis, cepat menuduh dan kurangnya sifat berbaik sangka.

“Big Bos” (Najib) tidak pernah suruh saya kekal atau sebaliknya. Beliau memberi pandangan betapa beliau kagumi penyokong TRW…beliau bertanya keadaan sebenar dan saya ceritakan,” kata Annuar, memetik kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.

Annuar yang juga merupakan ahli Parlimen Ketereh berkata, pihaknya melahirkan rasa terharu dengan kenyataan Najib yang meminta penjelasan terperinci berhubung isu membabitkan TRW berkemungkinan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia memandangkan mereka kekurangan dana untuk menghadapi musim hadapan.

“Saya terharu seorang ‘big bos’ begitu prihatin dan mahu dengar cerita yang lengkap, terperinci…dan beliau beri pendapat bahawa saya kena usaha.

“Katanya rugi kalau biar tak sertai liga kerana katanya orang Kelantan begitu minat bola..tua muda..katanya berpakatlah, cari jalan…ikhtiar,” kata Annuar lagi.

Beliau berkata, keputusan untuknya menarik diri daripada kepimpinan KAFA adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang lebih berkemampuan.

“Saya jelaskan saya undur untuk beri peluang kepada yang lebih mampu kerana saya sayang TRW, saya ikut kemampuan sebagaianak Kelantan yang lahirkan TRW.

“Dia (Najib) kata ‘you tolonglah’… saya jawab ‘Insha Allah sir, saya sangat menghargai kebimbangan dan nasihat, terima kasir,’ itu sahaja,” kata Annuar.

“Tidak timbul soal saya kekal,” tegas Annuar lagi, dan menambah, sesiapa sahaja yang berkeinginan untuk memimpin KAFA juga amat dialu-alukan.

Annuar dalam posting itu turut memuat naik sekeping artikel daripada petikan Facebook Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz yang mengatakan KAFA adalah Biro Umno Kelantan.

Artikel itu mengatakan Nik Abduh berusaha untuk mendapatkan bantuan untuk KAFA, namun pada akhirnya ‘bos besar’ yang dipercayai merujuk kepada Najib meminta Annuar kekal menerajui KAFA.

“Saya jumpa Annuar Musa di Parlimen. Saya jumpa Ahmad Yaakob di pejabat MB. Saya makan pagi bersama Afandi Hamzah. Semuanya kerana prihatin dan gusar saya terhadap perkembangan KAFA dan pasukan bola sepak Kelantan.
“Saya cuba mengail sepat dan puyu..

“Akhirnya bos besar minta Tan Sri (Annuar) kekal. Bos akan membantu demi masa depan bola sepak dan anak muda negara bla bla..,” kata Nik Abduh di laman sosial itu.

Beliau turut menyifatkan perkara itu adalah sandiwara 2016 yang paling berjaya.

“Saya gembira teramat sangat dengan berita ‘gumbira’ ini.. Tahniah 10x lipat.
Sandiwara hujung 2016 yang paling berjaya..

“KAFA adalah sebuah Biro Umno Kelantan,” katanya lagi.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2