Beliau turut meminta orang ramai khususnya penduduk Parlimen Bagan Datoh supaya mendoakan hubungan beliau dengan perdana menteri terus berpanjangan.
“Saya minta orang Bagan Datoh mendoakan hubungan saya dengan Najib terus berpanjangan sebagai pemimpin nombor satu dan dua, seorang sahabat, adik beradik,” katanya.
Zahid berkata beliau bekerja bersama Najib sejak 1 Oktober 1987 sebagai setiausaha politik semasa perdana menteri ketika itu menjadi menteri belia dan sukan sebelum menjadi menteri pertahanan.
“Selepas itu saya terus bekerja dalam sektor korporat, namun saya membantunya (Najib) dari luar,” katanya.
Sehubungan itu, Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh meminta pihak tertentu supaya menghentikan segala fitnah ke atasnya termasuk surat layang kononnya beliau mendesak Najib meletak jawatan kerana ia hanya membuang masa.
Zahid menegaskan sepanjang kerjaya politiknya beliau tidak pernah menjatuhkan sesiapa dan pegangan itu menyebabkannya kekal sebagai ahli Parlimen dan juga Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh. –Makkal Osai