Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Dr. Mahathir itu sudah melampau kerana pahala dan dosa seseorang itu dinilai oleh Allah dan beliau tidak berhak menentukannya.
“Apa hak dia (Dr Mahathir) nak kata ibadat haji ini tidak mabrur, haram dan sebagainya sedangkan yang menentukan semua perkara itu adalah Allah SWT.
“Dia perlu sedar dalam bab syurga dan neraka ini bukan hak manusia, ia adalah hak mutlak Allah SWT, jadi dia macam nak ambil kuasa Tuhan pula (dan) pada saya ini sudah melampau,” katanya memetik laporan SuaraTV.
Dr. Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini berkata ibadah haji yang dilakukan menggunakan duit tidak mabrur itu kerana wang tersebut berpunca daripada sumber yang haram.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
Menurut Harussani lagi, Dr. Mahathir sudah berulang kali menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terlibat dengan skandal 1MDB sedangkan siasatan yang dilakukan membuktikan sebaliknya.
“Dia dah buat satu tuduhan yang bukan-bukan, kata Najib ambil duit dan sebagainya sedangkan siasatan yang dijalankan SPRM, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan sebagainya telah membuktikan ia tak ada kena mengena.
“Jadi ia merupakan satu fitnah kepada Najib dan dalam Al-Quran ada menyebut hukum orang yang memfitnah ini lebih dasyat dari membunuh, (maka) kalau menurut hukum (Islam) perbuatan dia (Dr Mahathir) itu sebenarnya lebih buruk dari membunuh,” tegasnya lagi.
Harussani turut menasihati Dr Mahathir agar berhenti dari melakukan perkara yang tidak menguntungkan Islam dan negara.
“Saya minta dia hentikan sikap macam ni, buruk sangat sikap dia yang suka tuduh-menuduh, dengki dan hasad tak habis-habis untuk apa buat kerja macam ini.
“Sepatutnya kita sebagai orang Islam perlu bersatu, tapi kita berpecah (sedangkan) Tuhan dah sebut dalam Al-Quran kalau kita (orang Islam) bersatu kita akan berjaya tapi sekarang ini kita telah berpecah.