Bukan babi, ladang itik punca pencemaran sungai

BUKIT MERTAJAM: Pemeriksaan di kawasan perkampungan Sungai Lembu mendapati pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah, berlaku akibat ladang ternakan itik jenis baka yang melepaskan sisa ternakan.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata pemeriksaan lanjut beberapa agensi penguat kuasa hari ini mendapati, pencemaran itu bukan dari ladang babi yang terdapat di situ, seperti dilaporkan semalam.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), melakukan pemeriksaan di ladang babi itu bermula 11 pagi hari ini dan selepas pemeriksaan serta penjelasan daripada pengusaha ladang babi, kami melawat ladang itik yang terletak berdekatan untuk tinjauan lanjut.

“Kami mendapati pencemaran itu bukanlah dari ladang babi itu, tetapi datang dari ladang itik yang terdapat lebih 100,000 ekor, terletak bersebelahan dengan ladang (babi), dan kita mendapati bahawa memang ada direct discharge daripada ladang itik yang beroperasi sejak 15 tahun lalu.

“Sisa kumbahan dan najis dari ladang itik itu, ia terus ke Sungai Air Merah dan juga menerusi Sungai Kulim sehingga menyebabkan berlaku pencemaran, namun ia tidak memberi kesan secara langsung kepada air yang dirawat oleh sebuah loji rawatan air Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), yang terletak kira-kira 14km (dari pencemaran)” katanya kepada pemberita selepas tinjauan dan pemeriksaan di perkampungan Sungai Lembu.

Semalam, media melaporkan JAS Kedah mengesan kegiatan melepaskan sisa ternakan babi yang disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, hingga menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dilaporkan berkata pemeriksaan oleh pihaknya mendapati, terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim, yang jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim ialah kira-kira tiga kilometer.

Susulan itu, sebuah ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu diarah tutup serta-merta, selepas disyaki melepaskan sisa ternakan hingga menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah, serta arahan itu dikeluarkan pihak JPVPP selepas semakan mendapati ladang itu tiada lesen sah untuk beroperasi.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata memang terdapat pencemaran air menerusi sisa ternakan, namun ia tidak memberi kesan kepada sumber air yang dirawat di kedua-dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah.

“Setakat ini, pengusaha ladang itik itu akan diambil tindakan oleh MBSP mengikut Akta Kerajaan Tempatan bagi penyaluran sisa terawat yang tidak terurus, ladang itik itu juga tidak mempunyai lesen dan pihak MBSP akan mengambil tindakan kompaun sebanyak RM1,000 dan lesen bangunan akan ditarik semula, sekiranya ketidakpatuhan itu tidak diselesaikan.

“Kita telah memperincikan bahawa kita akan kenakan tindakan, tetapi untuk saat ini ladang tersebut tidak pernah ataupun diberikan lesen lagi, sekiranya diberikan lesen kita akan kenakan tindakan maksimum denda RM30,000 dan juga penjara 3 tahun kepada pemilik ladang tersebut,” kata Fahmi. –Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Kaedah Bekal Senjata, Butiran Perbualan Shalom, Pasangan Suami Isteri Adalah Sulit