‘Budak disko’ kecewa dengan Presiden PAS

Syed Saddiq yang sebelum ini pernah dilanda kontroversi ‘disko’ di dalam laman Facebooknya mempertikaikan tindakan PAS yang berhasrat untuk menjadi penasihat kepada UMNO.

“Saya sejujurnya amat kecewa dengan PAS terutama sekali dengan Presiden TG Haji Hadi Awang.

“Selama ini, saya fikirkan PAS merupakan sebuah parti yang tidak akan sekali-kali mengorbankan integritinya sendiri.

“Pada masa kita memerlukan semua tangan di atas di pihak yang sama, PAS telah memilih untuk kekal di garisan tepi.

“Dan yang lebih mengecewakan, Presiden PAS sendiri membuat kenyataan untuk menjadi Penasihat UMNO. Adakah PAS sekarang anak syarikat UMNO?,” katanya.

Dalam status yang sama, Syed Saddiq turut mempertikaikan perjuangan PAS yang dilihatnya hanya mementingkan soal Islam tanpa mengendahkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kini, kita sedang berhadapan dengan skandal terbesar negara yang telah mendatangkan impak negatif cukup besar pada maruah Malaysia.

“Isu 1MDB ini melibatkan korupsi, salah guna kuasa dan pelbagai lagi. Semua ini merupakan isu isu yang bertentangan dengan prinsip prinsip Islam.

“Apa yang PAS sedang lakukan? Islam bukan sahaja mengenai penentangan terhadap orang Cina dan bukan Islam sahaja. Islam juga bercakap mengenai ketidakadilan. Ini adalah satu ketidakadilan. 1MDB adalah satu ketidakadilan. Di manakah kritikan mengenai penyalahgunaan kuasa?” memetik status Facebooknya lagi.

Malah, beliau berkata, disebabkan oleh pendirian PAS itu, kaum keluarganya yang pada suatu masa dahulu adalah penyokong PAS sudah beralih arah daripada parti itu.

“Ahli keluarga saya yang sebelum ini merupakan Pro-PAS pun sudah bertekad tidak mengundi untuk PAS lagi.

“Tolonglah. Saya merayu pada PAS dan Presiden PAS, kembalilah pada PAS yang kami kenali dahulu. Berjuanglah menentang ketidakadilan ini, sebelum rakyat menentang ketidakadilan kamu,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri