Beliau berkata tidak dinafikan setiap bekas pemimpin UMNO mempunyai jasa tetapi apabila mereka bersekongkol dengan pembangkang dan cuba meruntuhkan kerajaan UMNO dan BN, mereka itu tidak perlu lagi disokong.
“Tidak ada bezanya antara Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas presiden UMNO), Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas timbalan presiden Umno) dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden PKR), Lim Kit Siang (penasihat DAP), Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP), Mohamad Sabu (presiden Parti Amanah)Negara) … mereka kini berada dalam kumpulan yang sama menentang UMNO,” katanya.
Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Labis, di Segamat pada Sabtu.
Beliau berkata pembangkang sedang berusaha memecah belahkan UMNO dan mengalih perhatian anggota parti supaya bergaduh sesama sendiri dan sedar atau tidak, pergaduhan dalaman UMNO telah berlangsung selama dua tahun.
“Isu yang dicipta oleh mereka bagi memburukkan perdana menteri telah menyebabkan ada dalam kalangan kita (anggota dan pemimpin UMNO) melayan teruk pucuk pimpinan negara… kita menghukum lebih awal daripada hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.
“Malah dalam Islam, seseorang itu tidak boleh dihukum sebagai ahli syurga atau ahli neraka ketika berada di dunia,” katanya.