Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata sekiranya pandangan dan pertimbangan meluas orang ramai tidak dapat diperoleh ketika ini, pihak berkenaan perlu merujuk kepada jawatankuasa khas mengenai pencegahan rasuah Parlimen bagi mendapatkan kelulusannya.
“Jawatankuasa khas ini mempunyai tiga Anggota Parlimen daripada kerajaan, tiga lagi Anggota Parlimen pembangkang dan ia dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara.
“Oleh itu, kewibawaannya amat tinggi dan ia perlu dirujuk sepenuhnya selain memberi pandangannya secara terbuka tentang pemilihan yang dibuat supaya rakyat lebih yakin terhadap ketua pesuruhjaya baharu SPRM,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan mengundurkan diri pada 1 Ogos manakala timbalan beliau Datuk Seri Mohd Shukri Abdull akan bersara pada 3 Okt ini.
Navaratnam juga mengesyorkan beberapa kriteria yang perlu dipertimbang kerajaan untuk memilih ketua pesuruhjaya baharu SPRM termasuk individu berkenaan perlulah dilantik daripada kalangan warga SPRM sendiri dan bukannya dari luar.
Menurutnya orang dalam SPRM itu mestilah memiliki pengalaman luas, kecekapan, pengetahuan tentang operasi di peringkat lapangan dan mempunyai dedikasi tinggi setelah sekian lama terlibat dengan tugas memerangi rasuah.
Beliau berkata individu itu perlu memiliki kejujuran dan integriti yang tinggi kerana tiada gunanya memilih seorang ketua pesuruhjaya baharu tetapi mempunyai rekod perkhidmatan tercemar atau diragui integritinya.
“Ketua pesuruhjaya baharu perlulah memiliki jati diri, keperibadian dan komitmen yang tinggi untuk menunaikan tugas memerangi rasuah secara habis-habisan sebelum ia merebak dalam sistem kita seperti barah.
“Beliau perlulah mampu untuk berdiri teguh dan tegas terhadap sebarang campur tangan politik dan komersial daripada mana-mana pihak, sama ada yang tinggi atau rendah kedudukannya,” kata Navaratnam.
Menurutnya ketua pesuruhjaya baharu itu juga perlulah merupakan ketua yang mampu memberi inspirasi untuk membawa seluruh warga SPRM ke tahap baharu dalam perjuangan menentang rasuah. – Bernama